Nama: NUR DIANA MOHD ZANI
No. PPOM: 0026-1
Sunyi seorang lelaki
Tahun ke 16 kerjaya.Sudah beribu pesakit telah ku ladeni. Sementelah ditempatkan dihujung daerah yang rata-ratanya warga emas, memberikan aku seribu macam rencah cerita. Klinik yang sederhana sibuk memberi ruang waktu untuk bersama pesakit lebih lama pada setiap sesi.
Cuma,hati ini tidak dapat melupakan satu sosok lelaki tua lewat 60-an yang tanpa sengaja meluah rasa yang mungkin sudah lama berbuku di hati.
Usai pemeriksaan yang wajib,seperti biasa aku luangkan masa bertanya serba sedikit dengan pesakit. Biasanya soalan sama sahaja kepada semua. Hanya mewujudkan ruang mesra di kampung orang lagaknya.
"Datang dengan sapa harini?" tanyaku seraya dibalas pantas oleh pesakit.
"Datang sorang saja.Naik motor.Rumah pakcik dekat Taman Tanjak ni je" sambil gelak kecik.
"Oh...duduk dengan siapa pakcik dekat rumah?" tanyaku meneruskan perbualan.
Tak semena dia tunduk dan lambat-lambat cuba membalas soalku.
"Pakcik duduk dengan makcik,ada anak laki sorang tak kawin lagi .Tapi ni makcik tak ada ,dia pergi duduk rumah anak.Anak baru bersalin.Jadi makcik jaga dalam pantang ni"
"Oh,dapat cucu baru lah ni.Alhamdulillah.Sukalah pakcik ya.." ujarku.
"Tak pun,tak ada suka sangatnya.Lagi sunyi adalah."tuturnya berat.
"Eh kenapa macamtu pakcik?"balasku kehairanan.
"Ya lah sunyi.Pakcik tak bagi pun makcik pergi jaga anak pantang tu. Biarlah dia gajikan orang. Pakcik ni siapa nak jaga makan minum?. Pakcik bukanlah sihat sangat. Tak lalu nak makan kedai hari-hari.”
“Sepatutnya dia jaga pakcik. Bila pakcik tak bagi pergi, anak dan isteri marah pakcik, katanya pakcik boleh jaga diri sendiri. Pakcik sedih " laju dia meluah dengan mata sudah sedikit bergenang.
"Allahh pakcik..hemss" kelu aku seketika. Terkejut sama.
"Kenapa pakcik tak pergi duduk sana juga?"soalku.
"Anak tak ajak pun pakcik. Dia nak emaknya saja. Selalu pun begitu. Lagipun 2 bulan dia nak emaknya disana. Bosan juga lama-lama rumah orang ni” jawabnya.
Aku diam seketika. Membiarkan dia menghabiskan cerita.
“Balik je rumah pakcik, mereka hanya borak gelak suka-suka dengan maknya saja. Pakcik ni macam tak wujud. Cakap lebih kurang saja dengan pakcik. Kalau telefon pun, tanya emaknya saja. Emaknya pun kalau anak dah balik memang tak peduli langsung dah kat pakcik ni. Pakcik kecil hati dengan anak dan isteri." tanpa noktah dia meluah.
Masih ada yang ingin diluah secara menyambung,
"Dulu pakcik kerja bawa lori. Selalu tak ada dirumah. Tapi pakcik kerja untuk anak isteri juga. Tak pernah pakcik naik tangan ke marah-marah. Sekarang, sudah tua pakcik ada ja dirumah tetapi sunyi. Sunyi sungguh. Mati lagi baik kalau macam ni" tak semena dia menangis terhinggut-hinggut.
Gelabah aku bangun terus usap belakangnya. Spontan.
"Sabar pakcik, sabar. Berat dugaan pakcik" bergetar suaraku cuba meredakan keadaan.
Setelah agak tenang, aku cuba menyusun kata. Bimbang juga lebih melukakan.
"Pakcik, betul tu, sunyi kalau tak ada teman nak berborak. Saya tak tahu nak kata apa. Saya bayangkan pun dah rasa sedih. Saya doakan semoga isteri dan anak pakcik lekas sedar dan tak biarkan pakcik.”
“Nanti pakcik cubalah juga cakap apa yang pakcik rasa pada mereka. Mungkin mereka tak perasan kot tindakan mereka tu sebenarnya buatkan pakcik sunyi." tuturku.
"Memanglah tak patut isteri dan anak pakcik buat begitu. Pakcik tak salah, mereka pun tak salah. Keadaan yang buatkan jadi begini. Mereka dah biasa pakcik tak ada. Mungkin kekok nak sembang banyak anak pun. Pakcik pun mesti sayangkan mereka kan? Doalah..." ujarku hati-hati.
"Nanti kalau pakcik rasa tak sihat, sunyi serabut sangat, datanglah klinik saya. Tak apa, saya boleh bercakap-cakap dengan pakcik 5-10minit. Mungkin boleh hilang sedikit rasa sunyi tu. Ataupun kalau pakcik rasa teruk sangat, saya boleh aturkan temujanji dengan kaunselor?" hanya itu sahaja yang mampu kufikirkan pada saat itu.
"Tak apalah. Anak sudi dengar pakcik arini pun dah rasa lega ketat dalam dada ni. Cuma itulah pakcik nak pesan, janganlah buat begitu pada suami, pada ayah sendiri. Orang tua pun ada perasaan. Tua-tua ni mudah sangat nak sedih dan kecik hati" balasnya sayu.
"InsyaAllah pakcik. InsyaAllahh...Terima kasih nasihatkan saya. Semoga nanti kita jumpa lagi ya pakcik "balas ku sebak dan bersungguh-sungguh.
Tapi, sehingga hari ini, aku menanti kalau –kalau pakcik akan muncul. Tapi, pakcik tidak datang lagi!.
Sungguh cerita harini sangat mengesankan. Tidak pernah terduga akan berhadapan luahan bagaimana sunyi seorang lelaki tua yang dipandang sepi dan tiada siapa mengerti. Tubuh yang memberi penghidupan pada keluarga dibiar sendiri. Benar kasihan. Pakcik tidak keseorangan. Mungkin ramai yang senasib tetapi malu untuk mengakui. Hatiku bagai disayat-sayat mengingatkan tubuh kurusnya mengambil masa bertenang di kerusi luar sambil merenung jauh. Longlai melangkah balik ke rumah sunyi itu lagi.
“Bertahanlah pakcik. Semoga ada sinar” bisikku didalam hati mengiringi langkahnya.
Rindu kepada arwah abah membuak. Semoga abah tidak pernah sunyi di alam sana. Semoga aku mampu menjadi anak soleh yang menghantar kegembiraan, menanti saat perjumpaan kembali.
"Ya Tuhanku, ampunilah aku dan kedua ibu bapaku, dan sayangilah mereka sebagaimana mereka memelihara dan mengasihiku semasa aku kecil"
“Jangan biarkan kami menzalimi keluarga kami Ya Allah. Bantulah kami untuk menjadi isteri terbaik untuknya. Jika ada diantara kami yang lalai, Kau pimpinlah diri ini. Juga, kembalikanlah bahagia dihati pakcik ini ya Allah” doaku dalam tangis yang tidak dapat dibendung lagi.
-DZ-