Nama: NUR HAYATI MOHAMED SHABERY
No. PPOM: 0234-1
“KISAH DARI RETINOSKOP OPTOMETRIS”
Nur Hayati Mohamed Shabery, Hospital Keningau, Sabah
Saya adalah salah seorang optometris yang terpilih untuk berkhidmat di salah sebuah hospital di Sabah, iaitu Hospital Keningau. Ramai orang berasa gerun apabila mendengar nama Sabah kerana kita sering dimomokkan dengan jauhnya perjalanan ke sana serta kekurangan kemudahan seperti air dan elektrik. Perjalanan ke Sabah memerlukan menaiki kapal terbang yang mungkin harganya agak mahal berbanding tiket bas atau menggunakan kenderaan sendiri. Apatah lagi, nama daerah Keningau dikenali sebagai salah satu kawasan pedalaman di Sabah.
Fikiran saya berkecamuk apabila mendapat tawaran tersebut. Separuh hati ingin menerima, dan separuh lagi ingin menolak, memandangkan saya telah berkahwin dan mempunyai anak yang baru berusia lima bulan. Saya menyampaikan berita itu kepada suami, dan kami sama-sama terdiam. Lalu, saya membuat keputusan untuk bertanya pendapat ibu bapa, dengan harapan mereka akan tidak bersetuju.
Saya mendail telefon.
Tutt… tutt… tuttt (telefon berdering)
Abah: Assalamualaikum.
Saya: Waalaikumussalam. Abah, Yana dapat tawaran kerja kerajaan, tapi di Hospital Keningau, Sabah.
Abah: Alhamdulillah, pergilah Yana. Kamu masih muda, berhijrahlah. Banyak yang boleh kita pelajari dari negeri orang. Bila lagi nak berjalan jauh? Abah dulu pun duduk di negeri orang selama 10 tahun.
Lamunan saya terhenti apabila disergah dari belakang. Itulah kisah lima tahun lalu yang mengimbau kenangan titik penghijrahan saya ke Keningau, Sabah, memberikan pengalaman bermakna kepada saya. Hospital Keningau terletak di kawasan pedalaman utama di Sabah. Walaupun perjalanannya memakan masa dua jam dari Kota Kinabalu, ia cukup mencabar kerana perlu merentasi Banjaran Crocker, banjaran kedua tertinggi di Malaysia. Masyarakat di sini didominasi oleh bangsa Dusun yang terkenal dengan sikap lemah lembut dan penyabar.
Kisah 1
Beberapa tahun lalu, saya memanggil pesakit seperti biasa. Seorang nenek dalam lingkungan 70 tahun muncul di depan pintu, menggendong cucunya yang berusia lima tahun. Cucu itu didiagnosis dengan kelewatan perkembangan (GDD) dan belum mampu berjalan atau duduk sendiri. Nenek ini tidak pernah terlepas temujanji cucunya, walaupun terpaksa menumpang kereta orang lain untuk ke hospital.
Saya : Nenek selalu bawa Darren untuk temujanji, maaf tanya ya. Ibunya di mana?
Nenek: Puan ingat tak ada orang yang bersalin dan meninggal dulu tu? Itulah ibu Darren. Dia meninggal masa lahirkan Darren.
Saya : Oo begitu. Ayahnya?
Nenek: Ayahnya jadi tidak waras lepas ibu Darren meninggal. Dia ada di rumah.
Saya : Darren anak tunggal ke?
Nenek: Darren yang ketiga, ada dua orang kakaknya.
Saya terdiam apabila nenek dan cucunya keluar dari bilik pemeriksaan. Dugaan nenek itu begitu besar. Walaupun tidak mampu membeli kereta sorong bayi kerana kekangan kewangan, dia tetap mempercayai perkhidmatan yang diberikan. Mulutnya tidak henti-henti mengucapkan terima kasih. "Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?"
Kisah 2
Suatu hari, saya memanggil seorang pesakit bernama Pakcik Abos. Dia berpakaian kemeja dengan seluar jeans lusuh.
Saya : Pakcik ada rasa mata kabur?
Pakcik Abos: Tak ada, puan. Mata saya terang. Saya boleh nampak benda jauh.
Saya meminta Pakcik Abos membaca carta Snellen untuk menilai tahap penglihatannya. Namun, beliau hanya dapat membaca sehingga 6/24.
Pakcik Abos: Puan, yang kecil begini memang saya tak dapat baca. Tapi mata saya terang. Kalau saya memandu, saya boleh nampak gunung-gunung yang jaaauh tu.
Setelah diperiksa, cermin mata dah tak mampu untuk memberi penglihatan yang terang kerana katarak Pakcik Abos telah tebal.
Saya : Pakcik, dah tebal katarak ni. Kalau pakai cermin mata pun sama juga kabur. Katarak kena bedah dulu ni baru terang.
Pakcik Abos: Bedah? Taknak la puan, mata saya terang lagi ni. Bagi je power, nanti saya pakai tu terang la.
Saya : Begini pakcik cuba tengok carta huruf depan tu tanpa cermin mata. Sekarang saya pakaikan power tadi. Pakcik rasa terang ke? Sama kan?
Pakcik Abos: Hmm ye macam sama. Jadi memang kena bedah ke mata pakcik ni? Pakcik ni kerja angkat sawit, kalau kena masuk wad nanti siapa nak kerja?
Ketakutan terhadap pembedahan katarak adalah perkara biasa dalam kalangan pesakit. Ramai pesakit enggan menjalani pembedahan kerana risau perlu cuti/diberhentikan kerja atau cerita yang menakutkan dari jiran tetangga yang pernah menjalankan pembedahan mata sebelum ini. Namun, mereka tidak sedar bahawa ada banyak jenis pembedahan mata selain pembedahan katarak dan setiap mata orang mempunyai masalah yang berlainan yang memerlukan pembedahan. Kesedaran terhadap kesan katarak yang dibiarkan akan menyebabkan komplikasi lebih teruk, termasuk kebutaan masih kurang dikalangan masyarakat.
Kisah 3
Unit Optometri juga menerima rujukan daripada saringan penglihatan sekolah yang dilakukan oleh jururawat klinik kesihatan. Ramai kanak-kanak yang mengalami masalah mata dapat dikesan melalui saringan ini. Namun, masih ramai ibu bapa yang memandang ringan terhadap rujukan tersebut.
Saya : Puan, Alisa perlu pakai cermin mata kerana power mata dia tinggi sebelah.
Puan Emma: Ala, kesian. Baru tujuh tahun dah kena pakai cermin mata. Mama dah 30 tahun pun tak pakai cermin mata. Di rumah, saya suruh dia baca tulisan kecil, boleh je dia baca.
Saya : Memang dia boleh baca sebab mata kanannya terang. Tapi bila buka kedua-dua mata, dia akan guna mata kanan sahaja. Lama-kelamaan, otak akan abaikan mata kiri, dan ini boleh menyebabkan juling. Cuma, mungkin akan ambil masa 10 hingga 20 tahun.
Puan Emma: Oh, boleh jadi macam tu ke?
Saya : Iya, Puan. Jadi, saya bagi preskripsi untuk buat cermin mata di kedai. Kita jumpa lagi dua bulan ya.
Namun, dua bulan kemudian, Puan Emma datang bersama Alisa tanpa cermin mata.
Saya : Puan, cermin mata Alisa ada ke?
Puan Emma: Belum buat. Ayah dia cakap, tunggu dulu. Mana tahu power dia naik lagi.
Saya : Puan, power mata kanak-kanak memang akan naik, sama ada dia pakai cermin mata atau tidak. Selagi umur dia belum 18 tahun, power mata akan berubah kerana matanya masih membesar. Untuk temujanji seterusnya, saya minta ayahnya datang supaya dia boleh lihat sendiri keadaan penglihatan Alisa.
Malangnya, sikap ambil ringan ibu bapa masih wujud. Kurangnya kesedaran tentang kesihatan mata menyebabkan kanak-kanak berisiko mengalami masalah penglihatan yang lebih serius. Faktor genetik turut menyumbang kepada peningkatan masalah rabun, terutamanya apabila terdapat perbezaan besar dalam kekuatan mata kiri dan kanan.
Pengalaman saya di Keningau memberikan banyak pelajaran berharga tentang pengorbanan, ketabahan, dan kepentingan kesihatan mata yang sering dipandang remeh. Semoga masyarakat semakin sedar akan pentingnya menjaga kesihatan penglihatan untuk masa depan yang lebih cerah.