Nama: HARYANNY KAMILAN
No.MOC:O-0544
PELUANG
"Lima, sembilan, empat..." kedengaran suara kanak-kanak membaca nombor yang ditampal di dinding. Mataku tertancap kepada seorang budak perempuan seusia dua belas tahun. Terimbas kembali kisah 30 tahun lalu, tatkala melihatnya sedang beratur menunggu gilirannya untuk diperiksa matanya.
****************************
Vroom, vroom!. Bunyi enjin motosikal tua bapak kedengaran ditekan-tekan menunjukkan aku sudah lewat. Hari ini hari pemilihan peserta kuiz sains dan matematik di sekolahku. Lekas aku menyarung kasut sekolah dan mencapai beg galas. Ku rangkul pinggang lelaki separuh abad ini. Hari-hari motosikal ini membelah dan menelusuri kebun kelapa sawit yang berekar-ekar luasnya. Pemandangan yang sepatutnya indah itu tidak ketara dek jerebu. Sepuluh minit perjalanan terasa sejuknya hingga ke tulang sum sum!.
"Baiklah semua, sila jawab soalan yang tertera di papan hitam dalam masa 35 minit. Empat orang dengan mata tertinggi akan terpilih mewakili sekolah", ujar Cikgu Miskam. Tik tok tik tok. Jarum saat berbunyi memecah kesunyian kelas. Berkerut-kerut keningku cuba memfokuskan tulisan di papan hitam. Aku mengecilkan mata cuba membaca tulisan di hadapan. Berair mata ini. Soalan sains dan matematik yang selama ini ku anggap mudah menjadi sukar hari ini. Aku cuba menjeling meja sebelah. Ternyata Azlina yang selalu membantuku menyalin kerja sekolah dari papan putih menutup kertasnya. "Ini kuiz, tidak dibenarkan meniru", ujarnya. Aku buntu. Masa tinggal lagi 15 minit sahaja. Peluh sejuk mula mengalir di tubuhku. Hatiku remuk redam menanggung kekecewaan.
Berat kaki ini untuk melangkah. Kertas jawapan ku hantar sambil muka tunduk ke lantai. Tersenyum simpul Cikgu Miskam menyambut kertasku. Ingin saja aku memecut seribu langkah menahan hiba tidak dapat menjawab kali ini. Ku kuatkan hati dan kembali ke mejaku. "Keputusan akan diumumkan esok", kata Cikgu Miskam lalu bingkas menuju ke bilik guru.
***********************************
"Mari, cuba duduk sebentar", sapa Cikgu Miskam.
"Cikgu sudah semak kertas kuiz kamu, tetapi kenapa cikgu lihat kamu banyak tinggalkan kosong? Hairan cikgu kerana biasanya kamu memperolehi markah tinggi dalam ujian", katanya sambil memandang tepat mataku.
"Saya tidak dapat melihat dengan jelas soalan di hadapan, cikgu" laju aku menjawab.
"Biasanya saya salin daripada Azlina tetapi semalam tidak", aku berterus-terang.
"Oh, begitu.Kamu rabun agaknya! Hari ini ada pasukan datang dari hospital untuk memeriksa mata pelajar tadika. Nanti saya tanyakan sama ada mereka boleh periksa mata kamu juga. Lega saya. Ingatkan kamu ada masalah", katanya sambil menepuk-nepuk bahuku.
*****************************
"Adik, baca nombor di hadapan", kata kakak yang memeriksa mataku. Wajahnya cantik tersenyum menunjukkan nombor di hadapan. Dari jauh tadi tidak ku perasan dia berkacamata, dan tidak ku nampak riak lembut wajahnya.
Aku menggeleng tanda tidak nampak. Dia terus memeriksa mataku. Diletakkan penutup dengan lubang kecil dan menyuruhku membaca lagi. Ha, nampak sedikit, ujarku dalam hati. Setelah selesai dia menyerahkan surat rujukan kepadaku untuk diserahkan kepada bapa. Untuk pemeriksaan lanjut di hospital katanya. Aku akur lalu berlalu.
*****************************
Azan subuh berkumandang. Aku bingkas lalu bergegas ke tandas. Rutinku berubah sedikit. Aku segera membuka kotak hikmah yang baru aku perolehi minggu lepas. Ku sangkut kakinya di telinga dan ia terletak cantik di batang hidung. CERMIN MATA TEBAL. Aku tersenyum melihat cermin, membelek wajah sendiri.
Bunyi enjin motosikal bapak sudah menderam. Memang itu rutinnya cara memanggilku setiap hari. Aku kucup tangan ibu sambil mendengar kata-katanya. "Cermin mata, kena pakai sentiasa. Lap gunakan kain yang diberi. Jangan bagi kawan-kawan pakai. Bila mahu buka, guna kedua-dua tangan ya". Aku mengangguk sahaja.
Dari atas motor ku lihat pelepah kelapa sawit melambai-lambai. Selama ini ku anggap jerebu yang menutupi, rupanya rabun mata ini. Oh ya, aku tidak terpilih untuk kuiz sains dan matematik. Kata Cikgu Miskam kesiannya kerana rabun terlepas peluangku. Tapi Cikgu kata tidak mengapa, perlu positif dan cuba lagi untuk peluang lain. Ya aku nekad hendak belajar rajin-rajin. Ingin jadi seperti Cik Optometris yang berkaca mata itu.
******************************
Hari ini aku telah bergelar Optometris. Salah satu tugas kami adalah mempromosikan kesihatan mata di sekolah untuk mengesan pelajar yang mempunyai masalah penglihatan. Kanak-kanak jarang mengadu kepada ibu-bapa yang penglihatan mereka kabur. Biasanya ibu-bapa atau guru akan perasan apabila anak tidak siap menyalin tugasan atau sukar memahami pembelajaran. Di sinilah tanggungjawab ibu bapa memastikan rabun dirawat sejak kecil bagi membolehkan anak-anak dapat menjalani sesi pembelajaran yang kondusif dan berkesan. Kacamata mampu mengubah hidup seseorang!. Ya, dari muram jadi ceria, dari kurang fokus menjadi pemerhati, dan dari biasa-biasa menjadi luar biasa!.
Nukilan: Optokacamata