Nama: Nur Liyana Binti Ishak
Nombor ahli PPOM: O127-1
KISAH DARI RETINOSKOP OPTOMETRIS
“Na anak sulung, Na harus buktikan kepada adik-adik yang Na boleh berjaya. Abah nak Na cepat lulus peperiksaan klinikal dan boleh balik ke kampung berkhidmat”. Kata-kata abah menjadi permintaan keramat untuk dilunaskan. Begitu besar harapan seorang abah. Maka aku gunakan cuti semester bersama kawan-kawan untuk berlatih menggunakan retinoskop sebaik mungkin meskipun terpaksa membuat surat permohanan meminjam klinik Optometri di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Retinoskop adalah ibarat isi dan kuku bagi Optometris. Ia adalah prosedur kedua yang perlu dilakukan selepas pengambilan Visual acuity (VA) atau dikenali sebagai tahap penglihatan. Melalui retinoskop, Optometris bukan sahaja dapat memeriksa jumlah rabun pesakit tetapi dapat mengesan penyakit-penyakit mata yang lain seperti katarak, kekeruhan kornea, keratokonus dan lain-lain lagi. Terlalu banyak cerita yang dapat dikongsi di sebalik 20 tahun bersama dengan retinoskop.
Pada tahun 2023, selepas dua tahun melalui era Covid-19, hospital tempat aku bekerja, mempergiatkan usaha untuk melakukan saringan mata untuk mencari pesakit-pesakit katarak. Ini berikutan kami telah menerima peningkatan kes katarak yang matang dengan pelbagai komplikasi akibat penutupan sementara bilik bedah mahupun klinik sebagai usaha memutuskan rantaian infeksi sewaktu pandemik. Kisah program saringan mata di sebuah Pondok Pengajian Islam yang tersohor di sini, tidak akan aku lupakan. Sewaktu program saringan, seorang pemuda yang tampan dan tegap badannya datang mengadu sudah lama mata kabur. Dia juga memberitahu masalahnya yang kerap bersin di pagi hari dan selalu menggosok mata serta hidungnya kerana terlalu gatal. Walau bagaimana pun, pesakit ini tidak pernah mendapatkan sebarang rawatan. Selepas ujian penglihatan dilakukan, aku pun membuat pemeriksaan rabun menggunakan retinoskop. Nah! ternyata pesakit ini mempunyai rabun mata hiperopia dan silau yang tinggi. Ujian subjektif refraksi menunjukkan tahap penglihatan pesakit ini tidak dapat pulihkan dengan kacamata. Terdetik di minda, pesakit ini berkemungkinan mengalami masalah keratokonus. Aku merujuk pesakit ini kepada pakar Oftalmologi yang bertugas pada hari tersebut. Tepatlah ramalanku, pesakit ini telah didiagnos mempunyai masalah keratokonus. Hanya kerana sebuah retinoskop, pesakit ini dapat dikesan dan dibantu. Dia telah dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Hatiku puas!
Kisah seterusnya, aku telah menerima rujukan dari pakar untuk membuat pemeriksaaan penglihatan secara lebih terperinci. Tahap penglihatan kedua-dua mata pesakit tersebut adalah hand movement (HM) atau boleh dikatakan pesakit ini hanya nampak bayangan sahaja. Pemeriksaan kornea, fundus dan tekanan mata adalah dalam keadaan normal. Apabila tiba giliran pesakit ini untuk prosedur retinoskopi, dia masuk ke bilikku dan membuka seliparnya tanpa disuruh. Aku tergamam. Bagaimana dia mengetahui bilik ini dipenuhi karpet sedangkan penglihatannya cuma sekadar HM. Aku makin curiga. Pesakit ini diiringi oleh isterinya sehingga ke dalam bilik pemeriksaan. Setelah melakukan pemeriksaan retinoskopi dan ujian subjektif refraksi, didapati pesakit ini tiada masalah rabun dan tahap penglihatan pesakit ini meningkat sehingga 6/36. Aku mengarahkan pesakit berehat sebentar untuk pemeriksaan ulangan bagi mengesahkan tahap penglihatan yang lebih tepat. Aku mengambil kesempatan ini untuk memerhati dari jauh tindak balas pesakit terhadap persekitaran. Sungguh tidak terduga, aku melihat dia khusyuk memerhati telefon bimbit isterinya dengan begitu tekun sekali. Mana mungkin tahap penglihatan HM! Benar tekaanku, ujian subjektif refraksinya adalah sempurna, 6/6. Aku memberanikan diri untuk bertanya lebih lanjut dan menyelami masalah pesakit ini. Rupanya terselit kisah di sebalik malingering. Suatu ketika, isterinya telah dinaikkan pangkat dan ditukarkan ke tempat kerja yang jauh. Lantaran dia mempunyai masalah mata, isterinya ditukarkan semula tempat kerja yang berdekatan dengan suami. Sengaja dia berlakon sedemikian demi mendapatkan perhatian si isteri. Malingering atau dalam Bahasa Melayu adalah berpura-pura sakit.
Kisah ketiga, adalah kisah yang sangat menarik tentang kesungguhan ibubapa dalam memulihara penglihatan anaknya. Kisah ini, kami jadikan sebahagian dari projek Quality Assurance Programme (QAP) yang akhirnya telah menang di peringkat negeri dan layak bertanding ke peringkat kebangsaan. Seorang pelajar perempuan berbangsa India yang berumur 7 tahun telah datang ke klinik mata. Bapanya memberitahu sebelum ini dia pernah membawa anaknya ke pakar mata dan doktor menyatakan bahawa anaknya berkemungkinan akan buta sebelah mata. Jadi aku melakukan ujian retinoskopi, tahap penglihatan mata kanannya adalah 6/6 dengan rabun jauh -0.50 diopter sphere (Ds) dan mata kiri adalah 2/60 dengan rabun jauh -10.00Ds. Bantuan kaca mata berjaya meningkatkan penglihatan mata kiri kepada 6/60. Pesakit ini sangat bertuah kerana mempunyai ibubapa yang menunjukkan komitmen yang tinggi dan dibantu oleh kemudahan dari projek QAP, antaranya pemberian buku ambliopia, latihan manik di rumah, jadual pematuhan ujian katup, mesin VPRA di klinik dan pelbagai lagi dalam membantu proses pemulihan. Setelah setahun rawatan, penglihatan mata kiri pesakit ini telah hampir mencapai normal iaitu 6/7.5. Ibubapa pesakit ini sangat berterima kasih kepada Optometrist di klinik mata atas usaha keras merawat anaknya. Akhirnya Projek QAP kami yang bertajuk Pematuhan Ujian Katup di Kalangan Pesakit Amblyopia telah berjaya merawat seorang anak kecil yang ambiopia kembali melihat dunia.
Hari demi hari telah menumbuhkan pengalaman dan kematangan. Benar sekali kata-kata Prof F, seorang pensyarah optometris di UKM yang aku kagumi sewaktu di universiti, “awak akan tengok beratus pesakit dalam sebulan di hospital, lama-kelamaan awak akan cekap menggunakan retinoskop”. Prof F sangat cekap menggunakan retinoskop, hanya dengan sekali suluhan sudah mendapat keputusan rabun mata dan pembetulan tahap penglihatan boleh mencapai 6/6. Hanya dengan sejalur cahaya retinoskop bersama bukaan pupil sekitar 3-5mm, kita dapat menganggar jumlah rabun mata pesakit. Sesederhana itu. Retinoskop dan optometris berpisah tiada.