Nama: ANIS SUZANNA BINTI MOHAMAD
MOC:O-1172
AKU DAN RETINOSKOPI: SAHABAT SEJATI
Aku masih ingat kali pertama aku diperkenalkan dengan retinoskopi. Waktu itu, aku hanyalah seorang pelajar tahun pertama jurusan Optometri. Aku fikir semuanya akan semudah membaca buku dan menghafal fakta tetapi realitinya tidak begitu.
Retinoskopi, pada awalnya, adalah mimpi ngeri. Satu alat kecil, seakan pen, tapi kuasanya luar biasa. Ia bukan sekadar menghalakan cahaya ke dalam mata pesakit, tetapi menuntut kefahaman mendalam tentang pantulan, gerakan cahaya, dan pembiasan yang terlalu halus untuk dikesan jika tidak benar-benar fokus.
Kali pertama aku mencubanya di makmal praktikal, tanganku menggigil. Lampu dipadam, suasana gelap, dan di hadapan aku duduk seorang rakan sekelasku, Darrie yang memainkan peranan sebagai pesakit.
“Fokus pada refleks. Tengok arah gerakan,” pensyarah kami mengingatkan.
Tapi aku langsung tak nampak apa-apa. Cahaya itu seolah-olah bermain-main dengan aku, tidak memberi jawapan yang aku cari. Lebih buruk lagi, aku tersalah tafsir hasilnya. Bila ditanya, aku jawab yakin: “Miopia.”
Pensyarah menggeleng. “Bukan. Ini hipermetropia.”
Waktu itu, aku rasa dunia runtuh. Aku gagal. Gagal memahami cahaya. Gagal menggunakan satu alat yang kononnya 'asas' dalam bidang kami. Aku mula rasa rendah diri. Kalau alat sekecil ini pun aku tak mampu kuasai, macam mana aku nak jadi optometris?
Hari-hari selepas itu, aku seakan hilang arah. Setiap kali sesi makmal berlangsung, aku jadi pelajar terakhir yang angkat tangan. Aku takut mencuba. Takut gagal lagi. Tapi dalam diam, aku tahu aku tak boleh terus begini.
Satu malam, aku duduk bersendirian di bilik belajar. Aku capai retinoskop latihan dan cermin dummy yang dipinjam dari makmal. Aku matikan lampu bilik, dan mula bermain-main dengan cahaya itu, walaupun tiada mata sebenar untuk diperiksa. Aku belajar memahami arah cahaya, bermain dengan lensa, membaca nota berkali-kali hingga aku tertidur dengan retinoskop masih dalam genggaman.
Semester kedua datang, dan aku diberi peluang sekali lagi. Kali ini dengan pesakit sebenar di klinik pelajar. Hatiku berdebar, tangan masih sedikit menggigil. Tapi aku tarik nafas panjang, dan halakan retinoskop ke dalam mata pesakit.
Ajaibnya, kali ini aku nampak sesuatu iaitu pantulan samar yang aku kenal dari latihan malam-malam lepas. Gerakan cahaya itu tidak menipu aku. Aku catat pemerhatian. Aku tambah lensa, uji semula, dan perlahan-lahan, keputusan akhir aku buat dengan yakin.
Pensyarah datang memeriksa.
“Bagus. Ini hasil yang tepat.”
Aku hanya mampu senyum kecil, tapi dalam hati, aku menjerit gembira. Untuk pertama kalinya, aku dan retinoskopi bersatu denganku, bukan sebagai musuh, tetapi sebagai rakan sekerja yang memahami.
Sejak hari itu, hubungan kami berubah. Setiap kali aku pegang retinoskop, aku rasa tenang. Ia bukan lagi alat yang menakutkan, tetapi seperti tangan kanan aku sendiri. Aku belajar membacanya dengan lebih halus. Terdetik di hati, “aku suka alat ini’,sedikit perbezaan pada refleks, gerakan yang samar, semua itu aku mula kenal.
Retinoskopi bukan sekadar teknik. Ia seni. Dan dalam seni itu, aku temui ketenangan.
Aku masih ingat seorang pesakit kanak-kanak yang datang ke klinik pelajar. Ibunya risau kerana anaknya lambat membaca dan selalu mengadu pening kepala. Bila aku lakukan retinoskopi, aku temui jawapannya iaitu refraksi tinggi yang selama ini tidak dikesan.
Dengan preskripsi yang betul, kanak-kanak itu kembali ceria. Dan ibunya menangis sambil ucap terima kasih.
Pada waktu itu, aku sedar… aku bukan sekadar guna alat. Aku sedang menyentuh kehidupan seorang insanorang.
Kini, aku di tahun akhir pengajian. Retinoskopi sudah menjadi sebahagian daripada dirii aku. Ada hari aku rasa penat, ada masa aku masih salah baca, tapi aku tak pernah serik. Kami iaitu ‘aku dan retinoskopi’ sudah terlalu akrab.
Aku pernah gagal. Tetapi kegagalan itu bukan penamat. Ia hanyalah langkah pertama dalam satu perjalanan yang panjang. Dan dalam perjalanan itu, aku tak pernah keseorangan. Terima kasih penyeliasupervisorku En. Sham dan Dr. Hafiz.
Retinoskopi bukan lagi alat asing. Ia sahabat baikku. Sesuatuorang yang sentiasa ada, memberikan cabaran, tapi dalam masa yang samajuga mengajar erti kesabaran. Ia mengajar aku untuk melihat dunia bukan sekadar dengan mata, tetapi dengan kefahaman dan empati.
Dan aku tahu, walaupun ke mana aku pergi nanti sama ada di pusat optometris swasta, hospital kerajaan, atau dalam komuniti pedalaman; aku dan retinoskopi akan terus bersama.
Sahabat baik yang berpisah tiada.