MASA SKRIN DAN TAHAP KELESUAN MATA
Masa skrin merujuk kepada aktiviti yang melibatkan penggunaan peranti yang mempunyai skrin, seperti komputer, televisyen, laptop, dan telefon. Di antara peranti-peranti ini, telefon bimbit, khususnya telefon pintar, merupakan alat yang paling popular di kalangan penduduk Malaysia. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia 2024, terdapat peningkatan mendadak dalam penggunaan telefon pintar dan capaian internet kerana pengguna sudah biasa bergantung kepada peranti digital sebagai medium komunikasi di seluruh dunia, terutama ketika pandemik melanda pada tahun 2020. Kini, hampir setiap isi rumah di Malaysia mempunyai telefon pintar. Selain daripada keperluan, harganya yang mampu milik menjadikannya peranti yang mesti dimiliki oleh setiap individu. Jika pada 40 tahun yang lalu, masa skrin digunakan oleh kanak-kanak berumur sekitar 4 tahun, kini usia seawal 4 bulan sudah terdedah dengan aktiviti masa skrin. Satu kajian di Selangor mendapati bahawa kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah terdedah kepada penggunaan skrin selama purata 3 jam setiap hari. Dalam kajian lain yang melibatkan kanak-kanak berusia 13 hingga 17 tahun di sekolah-sekolah di Selangor pula mendapati telefon pintar merupakan peranti yang paling banyak digunakan, dan mereka menghabiskan masa selama 3 jam melayari telefon pintar pada hari biasa dan tempohnya meningkat kepada 5 jam pada hujung minggu. Televisyen adalah peranti kedua yang paling banyak digunakan, diikuti oleh komputer dan komputer riba, permainan video, dan tablet. Kajian tersebut juga mendapati hampir 83% pelajar mempunyai telefon pintar sendiri, dengan media sosial menjadi aktiviti yang paling kerap dilakukan, diikuti oleh menonton video di YouTube dan platform lain.
Pendedahan kepada aktiviti masa skrin, terutama telefon pintar, mempunyai kelebihan dan juga kekurangannya. Fungsi pelbagai yang ditawarkan melalui skrin kecil ini menjadikan telefon pintar sangat digemari, malah ia kini menjadi keperluan dalam kehidupan seharian. Dengan hanya menggunakan telefon pintar, segala maklumat dan ilmu pengetahuan dapat diakses dengan mudah. Fungsi telefon pintar bukan sahaja menyediakan informasi terkini, tetapi turut memberi peluang untuk pembelajaran interaktif yang dapat membantu kanak-kanak memahami sesuatu perkara dengan lebih baik. Selain itu, ia juga digunakan sebagai alat komunikasi terutamanya bagi mereka yang tinggal jauh, dan aplikasi seperti media sosial membolehkan pengguna mengetahui lebih lanjut tentang budaya dan kehidupan masyarakat di tempat lain. Pekerjaan juga menjadi lebih mudah dan cepat dengan pelbagai aplikasi yang ada dalam telefon pintar. Tidak dinafikan, telefon pintar juga merupakan medium hiburan, dengan adanya aplikasi seperti permainan atas talian, YouTube dan sebagainya. Bahkan, kanak-kanak seawal usia 2 tahun juga mendapat manfaat dari aplikasi pembelajaran yang disediakan, di mana kajian menunjukkan pembelajaran secara interaktif di bawah bimbingan penjaga dapat meluaskan kosa kata serta menyokong perkembangan literasi dan bahasa kanak-kanak ini.
Namun, di sebalik kelebihan tersebut, banyak juga kelemahan yang boleh memberi kesan negatif terhadap fizikal, mental, dan kesihatan. Antara kesan yang sering dibincangkan akibat daripada penggunaan skrin yang berpanjangan, ialah digital eye syndrome (D.E.S) dan kelesuan visual (visual fatigue). Pengguna sering melaporkan simptom-simptom seperti mata kering, keletihan mata, pandangan kabur, kerengsaan pada mata dan sakit kepala apabila mengunakan peranti dalam suatu jangkamasa yang lama. Kajian menunjukkan bahawa simptom ini wujud akibat daripada gangguan kepada fungsi mata secara eksternal (luaran) dan internal (dalaman). Kerlipan mata yang normal membantu menyebarkan air mata secara sekata di permukaan mata, namun, penggunan skrin yang berpanjangan menuntut pengguna untuk kekal fokus kepada skrin sekaligus mengurangkan kadar kerlipan mata. Keadaan ini menyebabkan lapisan air mata mudah tersejat, menganggu kelembapan mata, dan menyebabkan mata menjadi kering serta tidak selesa. Menurut kajian dari luar negara, purata kerlipan mata adalah sebanyak 18.4 kerlipan dalam 1 minit sebelum menggunakan komputer, namun nilainya berkurang kepada 3.6 kerlipan dalam 1 minit ketika sedang bekerja berhadapan dengan komputer tesrsebut. D.E.S ini juga berkait rapat dengan tahap kelesuan mata seseorang. Terdapat satu kajian yang dilakukan ke atas pelajar berusia 13 hingga 17 tahun di sekolah-sekolah di Selangor untuk menilai hubungkait antara tempoh pendedahan kepada masa skrin dan tahap skor kelesuan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa majoriti pelajar mengalami simptom kelesuan visual ini selepas menggunakan skrin lebih dari 2 jam. Simptom mata kabur mencatatkan peratusan tertinggi dilaporkan oleh pelajar. Selain itu, separuh daripada pelajar turut melaporkan simptom seperti mata penat, berair, mata sakit dan mata kering akibat penggunaan masa skrin yang berpanjangan. Hanya segelintir pelajar yang melaporkan simptom seperti mata tegang dan penglihatan berganda. Analisa data mendapati terdapat hubungkait yang positif di antara tempoh penggunaan masa skrin dan tahap kelesuan visual di kalangan pelajar tersebut, di mana semakin tinggi tempoh masa skrin, semakin tinggi tahap kelesuan mata. Kajian di China yang melaporkan bahawa tiada perbezaan yang signifikan dijumpai antara murid yang membaca menggunakan peranti digital dan buku teks yang bertulis, namun skor kelesuan visual lebih tinggi dalam kumpulan murid yang membaca dalam jangkamasa 30 minit berbanding 15 minit. Ini menunjukkan bahawa tempoh masa memainkan peranan dalam tahap kelesuan visual. Kelesuan mata akibat daripada penggunaan skrin adalah berkait rapat dengan sistem akomodasi dan vergens mata seseorang. Jarak yang dekat dan tempoh masa yang panjang adalah dua faktor utama yang menyumbang gangguan kepada sistem ini. Penggunaan skrin yang berterusan boleh menyebabkan sistem ini bekerja lebih dari kapasiti yang sepatutnya. Kajian di Malaysia mendapati hampir semua parameter akomodasi yang dinilai menunjukkan pengurangan yang signifikan selepas menggunakan peranti digital selama 1 jam. Selain itu, selepas bekerja di hadapan komputer selama 30 minit, sebahagian besar parameter vergens dan akomodasi terjejas, dengan skor kelesuan visual yang lebih tinggi bagi pengguna yang mempunyai masalah vergens. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa parameter vergens dan akomodasi yang terganggu menjadi punca kepada simptom-simptom kelesuan pada mata.
Jika keadaan ini berterusan tanpa mengambil sebarang langkah pencegahan, ia boleh mengakibatkan masalah yang lebih serius berlaku, terutamanya ketika melakukan tugasan pada jarak dekat. Akibatnya, pelajar mungkin mengelak untuk melakukan aktiviti tersebut yang seterusnya boleh memberi impak negatif terhadap pencapaian akademik pelajar tersebut. Antara langkah pencegahan yang boleh diambil termasuklah mengawal tempoh pendedahan masa skrin. Disarankan agar tempoh pendedahan kepada skrin tidak melebihi 2 jam sehari perlu di praktis di kalangan kanak-kanak terutamanya, bagi menjaga kesihatan visual. Sekiranya mengurangkan penggunaan peranti digital sukar diamalkan, praktis 20-20-20 juga membantu, di mana selepas 20 minit melakukan kerja di hadapan skrin, mata perlu berehat dengan melihat sejauh 20 kaki selama 20 saat. Kajian telah menunjukkan bahawa praktis ini berkesan bagi membantu merehatkan mata. Selain itu, postur yang betul amat penting ketika menggunakan peranti digital. Pelajar digalakkan untuk duduk tegak dengan skrin di hadapan mereka, dan skrin perlu diletakkan lebih rendah dari aras mata dan sekurang-kurang nya pada jarak satu lengan ke hadapan. Pendedahan kepada masa skrin perlu dikawal tempoh dan isi kandunganya, bagi memastikan perkembangan emosi, mental dan fizikal yang sihat pada masa hadapan.
MIOPIA DIKALANGAN KANAK-KANAK
"Anak puan tengok TV macam mana?"
Soalan itu keluar secara spontan daripada mulut saya sambil memancarkan cahaya retinoskop ke mata pesakit comel saya yang berusia enam tahun.
"Oh, dia tak tengok TV, main telefon saja," jawab ibu pesakit itu pantas, matanya tidak lepas dari skrin telefon bimbit sejak dari mula memasuki bilik pemeriksaan refraksi.
Hasil pemeriksaan retinoskop menunjukkan bahawa pesakit memerlukan kanta -5.00DS bagi kedua-dua belah mata. Dalam istilah mudah, tahap rabun jauh (miopia) adalah 500, satu nilai yang agak tinggi bagi kanak-kanak seusia enam tahun.
Tidak hairanlah si kecil ini tidak gemar menonton televisyen — penglihatan jauhnya sangat kabur. Kebanyakan masanya dihabiskan bermain dengan peranti digital pada jarak dekat, yang malangnya meningkatkan risiko miopia yang tinggi dan progresif.
Miopia berlaku apabila cahaya yang masuk ke dalam mata difokuskan di hadapan retina, menyebabkan objek jauh kelihatan kabur. Masalah ini boleh dibetulkan menggunakan kanta cekung.
Pada tahun 2020, dianggarkan 30% daripada populasi dunia mengalami miopia. Lebih membimbangkan, menjelang tahun 2050, dijangka 50% populasi dunia akan menghidap miopia dan 10% daripadanya merupakan kes miopia tinggi (melebihi 600). Pesakit kecil saya ini berisiko menjadi sebahagian daripada 10% tersebut.
Beberapa faktor risiko menyumbang kepada berlakunya miopia:
Faktor Genetik
Miopia boleh diwarisi. Jika salah seorang ibu atau bapa menghidap miopia, risiko anak untuk mengalaminya adalah 15%. Risiko ini meningkat kepada 43.6% jika kedua-dua ibu bapa menghidap miopia.
Namun, dalam kes pesakit saya ini, kedua ibu bapanya tidak mengalami miopia. Maka, faktor genetik bukanlah penyebab utama dalam kes ini.
Kurang Aktiviti Luar
Kajian menunjukkan bahawa pendedahan kepada cahaya matahari sekurang-kurangnya 40 minit sehari dapat membantu mengawal pemanjangan bola mata.
Cahaya matahari merangsang retina untuk menghasilkan dopamin, sejenis neurotransmitter yang membantu mencegah pemanjangan mata. Ia juga merangsang penghasilan vitamin D, yang dipercayai berkaitan dengan pengurangan risiko miopia, walaupun mekanisme tepatnya masih dikaji.
Kerja Dekat Berlebihan
Membaca atau melakukan kerja dekat dalam tempoh yang panjang turut menjadi faktor risiko. Kanak-kanak perlu diingatkan supaya mengekalkan jarak sekurang-kurangnya 30 cm semasa membaca atau membuat kerja sekolah.
Miopia bukan sekadar rabun — ia boleh meningkatkan risiko pelbagai penyakit mata serius seperti Katarak, Glaukoma, Retinal detachment dan Myopic maculopathy. Semakin tinggi tahap rabun, semakin tinggi risikonya. Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mengawal miopia anak-anak sejak awal.
Selain memakai cermin mata biasa (penglihatan tunggal), terdapat beberapa kaedah lain yang lebih efektif untuk memperlahankan perkembangan miopia:
Cermin Mata Khas
Bifokal / Progressive Addition Lenses (PAL)
Defocus Incorporated Multiple Segment (DIMS)
Highly Aspherical Lenslet Technology (HALT)
Kanta-kanta ini direka khusus untuk membantu mengurangkan pemanjangan bola mata.
Kanta Lekap Khas
MiSight
Orthokeratology (dipakai waktu tidur)
Dapatkan nasihat daripada optometris berdaftar sebelum mencuba kanta ini
Ubat Titis Atropine
Ubat ini terbukti berkesan dalam memperlahankan perkembangan miopia. Namun, ia mesti digunakan di bawah pemantauan pakar mata kanak-kanak dan tidak boleh digunakan tanpa nasihat doktor.
Miopia tidak boleh diabaikan. Ibu bapa perlu:
✅ Membawa anak menjalani pemeriksaan mata secara berkala
✅ Menggalakkan aktiviti luar sekurang-kurangnya 1 jam sehari
✅ Mengawal masa skrin anak-anak dan amalkan jarak pandangan yang sihat
✅ Berbincang dengan optometris tentang pilihan kawalan miopia yang sesuai
Miopia mungkin bermula dengan hanya ‘rabun biasa’, namun jika dibiarkan, ia boleh memberi kesan besar terhadap kualiti hidup dan kesihatan mata anak-anak. Pencegahan dan kawalan awal adalah kunci.
Jika anda perasan anak anda sering mengecilkan mata, mengelak menonton TV, atau terlalu rapat semasa membaca — bawa mereka untuk pemeriksaan mata segera. Mata mereka adalah jendela masa depan mereka.
Normaisarah Bt Mohd Salleh Ong
O-0960
KESEDARAN KESIHATAN MATA DAN PENGLIHATAN NADI PERKHIDMATAN OPTOMETRI
Mata dan penglihatan adalah satu anugerah Allah yang sangat bernilai dan perlu dijaga sebaik-baiknya. Kita hanya mempunyai sepasang mata seumur hidup. Tanpa penglihatan yang baik, gelaplah dunia. Kita akan sukar untuk melakukan aktiviti harian kita. Sedikit sebanyak ia turut mengganggu aktiviti harian kita seperti bekerja, berjalan, memasak, belajar, berkomunikasi dan banyak lagi. Kita hendaklah bersyukur atas anugerah yang diberikan dan salah satu cara mensyukuri nikmat yang diberikan ialah dengan menjaganya dengan sebaik–baiknya.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, mata sentiasa terdedah kepada pelbagai perkara yang mungkin boleh menjejaskan penglihatan dan kesihatan mata. Berikut ialah beberapa tips penjagaan mata yang terbaik:
1) Peraturan 20-20-20 sangat digalakkan dalam penjagaan mata. Peraturan ini boleh digunapakai untuk semua lapisan masyarakat yang menggunakan screentime yang banyak sama ada untuk kerja atau urusan peribadi. Setiap 20 minit melakukan kerja dekat kita digalakkan untuk berehat sebentar selama 20 saat dengan melihat jauh sejauh 20 kaki atau 6 meter. Ia penting untuk mengurangkan ketegangan mata, mata penat dan dapat mengelakkan gejala sakit kepala. Sentiasa ingatkan diri untuk sentiasa berkelip mata bagi mengelakkan mata kering. Selain itu, Di samping pastikan badan berada dalam postur yang baik, ditambah dengan tetapan komputer yang optimum termasuk kecerahan, saiz huruf, kontras dan ruang kerja yang selesa.
2) Melakukan pemeriksaan saringan mata sekiranya mempunyai sejarah keluarga penyakit mata atau yang menyebabkan kebutaan dalam kalangan ahli keluarga contohnya glaucoma, retinitis pigmentosa, Age-related macular degeneration (AMD) , cataract dan retinoblastoma (kanser mata). Penyakit ini dapat dirawat dan diberi rehabilitasi sekiranya dapat dikesan dari peringkat awal. Orang awam boleh menghadiri program Pemeriksaan saringan mata percuma yang sering ditawarkan oleh KKM serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) di premis-premis awam.
3) Melakukan pemeriksaan mata untuk kanak-kanak sekurang-kurangnya sekali setahun terutamanya sebelum masuk ke alam persekolahan. Ia sangat penting memandangkan kanak-kanak sangat kurang mengadu berkenaan sebarang gejala yang sedang dihadapi . Oleh yang demikian, pemeriksaan mata ini dapat mengesan masalah yang dihadapi tanpa sedar terutamanya sedar. terTerutamanya jika kanak-kanak tersebut mempunyai masalah pada sebelah1 mata sahaja. Kanak-kanak seperti ini kebiasaannya Mereka akan dapat melakukan aktiviti harian seperti kanak-kanak normal. Sehubungan dengan itu, Pperkhidmatan optometri KKM telah mengambil inisiatifada dengan menjalankan program AVIS (Amblyopia and Visual Impairment Screening Ministry of Health Malaysia) ke atas kanak-kanak tadika yang berumur 4 hingga 6 tahun bagi menanganii masalah ini.
4) Menghadkan screentime terutamanya untuk kanak-kanak. Menurut AAP (American Academy of Pediatrics), tiada pendedahan screen time untuk kanak-kanak berumur 2 tahun ke bawah adalah tidak disarankan kecuali untuk perbualan video dengan keluarga. Sementara untuk kanak-kanak berumur 2 hingga 5 tahun, penggunaan screen time yang dicadangkan adalah 1 jam sahaja dengan pengisian program yang sangat berkualiti. Manakala untuk 5 sehingga 17 tahun, AAP mencadangkan screen time tidak lebih daripada 2 jam sehari. Menurut pengamal pendidikan awal Pengamal Pendidikan Awal Kanak-kanak; Dr. Putri Afzan Maria Zulkifli, kesan screen time yang terlalu lama boleh memberi kesan kepada kesihatan dan perkembangan kanak-kanak. Secara perubatan, ia boleh memberi risiko terhadap kesihatan mata, tulang, otot dan berat badan. Bagi bidang optometri, banyak rujukan bagi kes-kes yang berkaitan dengan penggunaan screen time yang berlebihan seperti rabun mata yang tinggi, masalah akomodasi ataupun iaitu berkait dengan kawalan fokus mata bagi apabila melihat jauh dan dekat, diplopia iaitu penglihatan berganda yang turut menyebabkan mata menjadi juling. Ini memerlukan kepada pemeriksaan mata yang lengkap dan komprehensif bagi membolehkan rawatan yang terbaik.
5) Pemakaian cermin mata hitam ketika berada di luar bangunan adalah cara pilihan terbaik untuk melindungi mata daripada sinaran UV. Ini dapat melindungi mata daripada penyakit katarak, pterygium dan degenerasi makula akibat pendedahan kepada UV yang berlebihan. Pemilihan cermin mata hitam yang betul juga penting, di mana. Cermin mata tersebut mestilah disahkan mempunyai tahap perlindungan 100% terhadap sinar UV.
6) Pemakanan turut memainkan peranan yang sangat penting dalam kesihatan mata. Kita hendaklah mengambil makanan yang seimbang dan bernutrisi untuk mencapai kesihatan mata yang baik dan optimum. Pengambilan multivitamin sangat digalakkan bagi menampung kekurangan nutrisi yang diperlukan. Antara vitamin dan nutrien yang penting untuk mata ialah vitamin C, E, zink, asid lemak Omega 3 fatty acids dan lutein. Ia boleh mengurangkan risiko masalah mata seperti degenerasi makula, dan katarak .
7) Berhenti merokok! Merokok adalah amalan yang tidak sihat kerana ia boleh memudaratkan serta mendatangkan banyak penyakit. Kesan buruknya bukan sahaja kepada mata tetapi juga organ yang lain seperti paru-paru, perut, mulut dan hidung. Tambah menyedihkan, bukan sahaja perokok yang mendapat mudarat malahan orang sekeliling yang tidak merokok tetapi yang menghidu dan terdedah kepada asapnya turut menerima akibat. Hal ini kerana rokok sebenarnya mengandungi bahan kimia atau toksik yang tinggi. Ia merosakkan sensitiviti dan menyebabkan kerosakan pada sel-sel pada retina mata. Antara penyakit mata yang mungkin disebabkan oleh rokok adalah katarak, kerosakan saraf optik dan degenerasi makula. Selain itu, ia boleh menyumbang kepada uveitis; sejenis iaitu penyakit mata yang sangat serius yang boleh menyebabkan kebutaan kekal. Sayangilah anugerah yang dikurniakan Allah ini dengan menjauhkan diri dari rokok..
8) Malang tidak berbau. Namun kita mestilah sentiasa berwaspada untuk mengelakkan mata dari terdedah kepada kecelakaan. Kebanyakan kecelakaan berlaku di rumah dan tempat kerja. Penggunaan cermin mata keselamatan penting semasa bekerja. Sentiasa nasihatkan anak-anak kita bermain dengan berhati-hati untuk mengelakkan dari kemalangan yang melibatkan mata.
Akhir sekali, amatlah penting untuk kita menjaga kesihatan mata sebaik-baiknya kerana mata merupakan anugerah yang paling bernilai dan sukar dicari ganti. Berjumpa lah dengan doktor mata dan optometris untuk mendapat rawatan yang terbaik.
Disediakan oleh:
Adawiyah Binti Ismail, 0209-1