Nama: MUHAMMAD FADZLI BIN YAACOB
No. PPOM: 0103-1
CAHAYA RETINOSKOP DI SEBALIK TEMBOK KONKRIT
Sekitar bulan Mei 2017, Klinik Mata, Hospital Teluk Intan telah didatangi oleh En Sabri Penolong Pegawai Perubatan (PPP), Penjara Tapah. Tanpa banyak bicara, beliau terus masuk ke bilik Penyelia Klinik Mata. Tidak lama selepas itu, En Wan Hisham (Penyelia Klinik Mata) menjemput Dr Mimi (Ketua Jabatan Oftalmologi) dan Puan Puteri (Ketua Unit Optometri) untuk menyertai perbincangan bersama En Sabri.
Setelah En Sabri pulang, Dr Mimi, Puan Puteri dan En Hisham datang ke bilik pegawai optometri. Diringkaskan cerita, kami dimaklumkan untuk mengadakan pemeriksaan mata terhadap beberapa banduan terpilih di Penjara Tapah. Skop pemeriksaan mata yang diperlukan kali ini adalah berkaitan dengan masalah penglihatan dan rabun, Dr Mimi memutuskan untuk menghantar 2 orang pegawai optometri dan seorang PPP pos basik oftal (sebagai tenaga sokongan) untuk memenuhi permintaan pihak penjara. Pada waktu itu, hanya En Nasrul sahaja yang merupakan PPP pos basik oftal, jadi jelas sekali beliaulah yang paling sesuai untuk tugasan itu. Di pihak optometri pula, ketua jabatan memilih Pegawai Optometri, En Fadzli (penulis) dan En Ziad untuk menyempurnakan tugas rahsia tersebut. Penulis kemudiannya menghubungi En Sabri untuk penetapan tarikh dan masa pemeriksaan akan dijalankan.
Hari yang dijanjikan telah tiba. Segala peralatan yang difikirkan perlu dibawa telah dipersiapkan. Peralatan asas yang perlu dibawa adalah seperti carta Snellen, bingkai cubaan, set kanta kanta cubaan, pita pengukur, lampu pen dan semestinya retinoskop. Tanggal 7 Julai 2017 (Jumaat) jam 8.00 pagi, kami bertiga bergerak ke penjara dengan kenderaan jabatan. Masa perjalanan mengambil masa sekitar 30 minit. Dalam perjalanan, masing-masing lebih banyak berdiam diri daripada berbicara. Di hati kecil, kami mengharapkan program berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tak diingini.
Setibanya di penjara, kami perlu melalui gate utama dan menyatakan tujuan kedatangan kami kepada pengawal di pondok keselamatan. Kami telah disambut mesra oleh En Sabri di pejabat pentadbiran. Beliau kemudiannya membantu kami mengangkut peralatan yang kami bawa ke tempat pemeriksaan. Kami perlu melalui satu lagi pintu pagar (yang diperbuat daripada kepingan besi) sebelum dapat masuk ke sebalik tembok konkrit penjara.
Sebelum meneruskan perjalanan ke sebalik tembok, kami diminta untuk meninggalkan barangan peribadi seperti dompet, kunci kereta dan duit di loker yang disediakan. Badan dan peralatan yang kami bawa turut diperiksa oleh pengawal penjara sebelum kami dibenarkan untuk meneruskan perjalanan ke klinik penjara. En Sabri yang kelihatan tenang sejak dari awal tadi menerangkan kepada kami bahawa semua yang kami lalui ini adalah prosedur biasa bila masuk ke sebalik tembok.
Setibanya kami di ruangan yang disediakan untuk pemeriksaan mata, penulis dan rakan-rakan mula mempersiapkan tempat untuk memeriksa pesakit. Pengalaman kami di Teluk Intan yang kerap keluar menyertai Program Saringan Kesihatan Mata (Eye Camp) membantu kami untuk menyiapkan susun atur ‘bilik’ optometri dengan cepat. Bilik tersebut dilengkapi jeriji besi selain tidak kelihatan sebarang objek tajam yang berpotensi sebagai senjata kepada banduan. Kami juga dikawal oleh beberapa pengawal penjara. Manakala En Sabri dan En Nasrul membantu memanggil pesakit.
Sebagai Pegawai Optometri KKM yang masih agak baru dalam perkhidmatan, kami berusaha sedaya upaya memeriksa kesemua pesakit (yang telah disenaraikan) dengan segala ilmu serta kemahiran yang telah kami pelajari sebelum ini. Kami cuba memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka semua tanpa mengira latar belakang dan sejarah hitam mereka. Untuk makluman, pesakit-pesakit yang kami periksa pada kali ini merupakan kes banduan-banduan khas yang tidak dapat saya kongsikan dan nyatakan secara terbuka di ruangan ini. Kes-kes khas yang menyebabkan pihak penjara tidak boleh mengiringi mereka ke hospital seperti kebiasaannya.
Seorang demi seorang banduan dipanggil untuk diperiksa. Kami cuba meringkaskan prosedur yang boleh diringkaskan kerana tidak mahu mengambil masa yang lama untuk pesakit menunggu. Pesakit-pesakit yang diperiksa, secara keseluruhannya memberi Kerjasama yang baik, walaupun ada beberapa orang yang sedikit ‘nakal’.
Ketika di sana, kami sangat bertuah kerana retinoskop yang kami bawa dapat berfungsi dengan baik meskipun dalam keadaan bilik yang mempunyai pencahayaan yang agak cerah. Bilik tersebut sengaja tidak dipasang sebarang langsir untuk tujuan keselamatan. Kami cuba untuk menggunakan apa sahaja fasiliti asas yang disediakan kerana tidak mahu merumitkan pihak tuan rumah,
Ketika pemeriksaan rabun pesakit, retinoskop sangat memainkan peranan penting bagi membantu optometris dalam menganggar ralat refraksi pesakit dengan lebih tepat. Melalui retinoskop, optometris juga boleh mengetahui jika pesakit sekadar berpura-pura rabun. Retinoskop bagi optometris adalah umpama pedang dan perisai bagi pahlawan yang berjuang di medan perang di masa silam.
Selesai pemeriksaan, jam menunjukkan sekitar 12 tengahari. En Sabri menjemput kami ke kantin pengawal penjara untuk makan tengahari. Kami kemudiannya keluar ke sebalik tembok diiringi En Sabri ke Surau Petugas Penjara untuk Solat Jumaat sebelum pulang. Sebaik berada di luar tembok, barulah kami dibenarkan untuk mengambil barangan peribadi kami yang disimpan di dalam loker tadi. Lega rasanya bila dapat melepasi tembok tersebut. Seolah-olah dapat merasakan alangkah nikmat dan berharganya sebuah kebebasan. Beberapa pengalaman berharga dapat kami lalui dan pelajari sepanjang perjalanan kami di sebalik tembok tersebut.
Pengalaman berharga memeriksa pesakit di sebalik tembok konkrit tersebut saya coretkan di sini bertujuan menghargai sebuah kebebasan yang sangat mahal harganya. Di samping itu, kita sebagai orang luar yang belum tahu keseluruhan cerita, janganlah kita terlampau cepat melabel / ‘menghukum’ dan membenci pesalah kerana yang dihukum belum tentu benar-benar berniat melakukan kesalahan tersebut. Ada di antara mereka yang tersalah jalan atau diperangkap oleh orang-orang yang khianat.
Apapun, misi kali rahsia ini berjaya dan kami sangat bersyukur kerana semuanya berjalan lancar dan tidak berlaku sebarang kejadian yang tak diingini yang melibatkan kami mahupun pesakit-pesakit kami. Demikianlah kisah Cahaya Retinoskop di Sebalik Tembok Konkrit. Sekian. Wallahua’lam…